Basikal lajak yang diubah suai  dirampas.
Basikal lajak yang diubah suai dirampas.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Operasi berterusan yang dijalankan ke atas aktiviti berbasikal lajak menyebabkan kumpulan kanak-kanak dan remaja terbabit bertindak mencari lokasi baru bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan mereka tidak bertahan lama apabila polis menahan sekumpulan 10 remaja dan kanak-kanak lelaki berusia lapan hingga 16 tahun sekali gus turut mengeluarkan 10 saman selepas dikesan terbabit dalam aktiviti berbasikal lajak di Taman Kota Jaya 2, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya mengenal pasti kawasan remaja terbabit ditahan adalah lokasi baru berikutan mereka terpaksa berpindah-randah bagi mengelak ditahan polis.

“Ini lokasi baru mereka yang kita dapat kesan berikutan operasi yang dijalankan terlalu banyak menyebabkan mereka berpindah-randah untuk melakukan aktiviti ini.

“Namun, apa yang saya lihat, aktiviti berbasikal lajak masih lagi terkawal di dalam daerah ini. Tetapi, kita tetap akan menjalankan operasi berterusan bagi menangani masalah ini,” katanya.

Dalam operasi dengan kekuatan tiga pegawai serta lima anggota yang dijalankan dari jam 5 petang hingga 7 malam itu, sebanyak 10 buah basikal lajak terbabit turut disita selepas memeriksa 22 buah basikal.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua ibu bapa serta penjaga dipanggil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk mengambil anak mereka dan diberikan sesi kaunseling.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 8:08 AM