Mohd Hafizee Mohd Arop


POLIS Perak akan terus menggunakan kaedah menasihatkan ibu bapa melalui Program Kepolisan Komuniti bagi memastikan aktiviti basikal lajak dalam kalangan kanak-kanak serta remaja di negeri ini tidak akan wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, walaupun tiada sebarang kes membabitkan aktiviti basikal lajak dilaporkan setakat ini, namun pihaknya sentiasa mengambil langkah awal untuk memastikan ia tidak menular.

“Saya sudah mengingatkan Ketua Polis Daerah (KPD) untuk mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku aktiviti ini (basikal lajak).

“Kita juga ada Program Kepolisan Komuniti yang dibuat setiap minggu, saya minta semua KPD mendekati masyarakat dan mengingatkan perkara ini kepada ibu bapa serta penjaga dan kalau boleh biarlah ia terus tiada,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai Ops Blue Devil yang dijalankan di negeri ini, Razarudin berkata, operasi berterusan terus dijalankan bagi memastikan tiada pegawai atau anggota polis di di negeri ini terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Daripada awal saya sudah sebutkan (langkah pencegahan), bukan bila tunggu Ops Blue Devil ini baru kita buat, di Perak buat masa ini tidak begitu serius sebab kita sudah mengambil tindakan dengan menasihatkan anggota.

“Kita juga buat ‘Roll Call’ setiap bulan atau setiap dua kali sebulan yang mana KPD akan panggil anggota bagi memastikan tiada anggota terbabit dengan aktiviti-aktiviti tidak baik atau keluar tanpa kebenaran ke negara jiran,” katanya.

KANAK-KANAK bermain basikal lajak sekitar pasaraya di Manjoi pada waktu malam mengundang bahaya jika berlaku kemalangan. FOTO Muhaizan Yahya
KANAK-KANAK bermain basikal lajak sekitar pasaraya di Manjoi pada waktu malam mengundang bahaya jika berlaku kemalangan. FOTO Muhaizan Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 10:51 AM