KEADAAN bas yang termasuk ke longkang besar selepas merempuh besi penghadang jalan.
KEADAAN bas yang termasuk ke longkang besar selepas merempuh besi penghadang jalan.
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Hajat lima sekeluarga mengadakan majlis cukur jambul tertangguh selepas terbabit dalam kemalangan bas ekspres terbabas di Kilometer 52.5 Jalan Sungai Lerek arah dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, di sini, pagi semalam.

Rosli Abdul Manaf, 36, berkata, kakaknya, Rozihan, 40, menaiki bas itu bersama empat anaknya termasuk bayi berusia 30 hari untuk pulang ke kampung di Batu 8, Kota Bharu bagi mengadakan majlis cukur jambul.

Menurutnya, anak saudaranya Nor Eziani Jouni, 20, patah paha dalam kejadian itu dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Tiga lagi anak saudarannya, Amirul, 11, cedera di belakang kepala manakala Athirah, 30 hari, dan Nor Ain, 14, tidak cedera.

“Amirul dan Athirah ditahan di wad kerana perkembangan mereka perlu dipantau akibat kejadian berkenaan serta membuat rawatan susulan.

“Kakak saya merancang mengadakan majlis cukur jambul anaknya selepas solat Jumaat hari ini (semalam), tetapi disebabkan mangsa berada di hospital, majlis berkenaan terpaksa ditukar kepada kenduri doa selamat,” katanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi, bas ekspres yang membawa 30 penumpang dalam perjalanan ke Kota Bharu dari Johor Bahru sebelum terbabas selepas dikatakan mengelak binatang melintas.

Akibat kejadian itu, bas terbabit melanggar besi pembahagi jalan sebelum terbalik ke sebelah kiri laluan.

Pemandu bas Nordin Mat Zin, 49, berkata, ketika kejadian keadaan jalan di kawasan itu licin kerana baru lepas hujan dan gelap.

“Ketika sampai di lokasi saya ternampak tiga lembu di tengah jalan dan cuba mengelak daripada melanggarnya hingga menyebabkan bas terbabas ke sebelah kanan jalan.

“Bas berpusing beberapa kali sebelum merempuh penghadang jalan dan paip besar seterusnya masuk ke dalam longkang besar,” katanya di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Penumpang, Siti Zainab Abdullah, 46, berkata, bas berkenaan membrek secara mengejut sebelum terbabas.

“Saya yang masih mamai ketika itu hanya sedar separuh badan sudah berada dalam air. Suasana ketika itu kelam-kabut dengan suara penumpang lain menjerit.

“Saya minta semua penumpang lain bertenang dan bersama-sama mencari jalan keluar dari bas berkenaan walaupun ketika itu risau dengan keselamatan dua anak yang ada bersama,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur dua anaknya Muhammad Faris Omar, 16, dan Wan Muhammad Wan Hussin, 10, selamat.

Katanya, Muhammad Faris hanya cedera ringan di bahu kiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Setiu.

Siti Zainab berkata, dia bersama dua anaknya dalam perjalanan ke Kota Bharu kerana urusan keluarga dan mengambil peluang sempena cuti sekolah membawa anaknya pulang ke kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 8:59 AM