MOHD Redza Shah (kanan) bersama kakitangannya menunjukkan kad debit selepas melancarkan i-Muamalat Mobile.
MOHD Redza Shah (kanan) bersama kakitangannya menunjukkan kad debit selepas melancarkan i-Muamalat Mobile.
Hamzah Osman


Langkawi: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) semalam melancarkan aplikasi mudah alih i-Muamalat Mobile yang boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Karnival Digital Langkawi di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Mualamat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Walid berkata, buat masa ini aplikasi itu menawarkan perkhidmatan pertanyaan baki, pindahan wang, pembayaran bil dan tambah nilai kredit telefon mudah alih.

“Kemudahan ini bakal memberi kemudahan kepada lebih 500,000 pelanggan sedia ada kami, malah ia turut boleh digunakan oleh orang ramai yang bukan pemegang akaun dengan Bank Muamalat untuk menyemak waktu solat, mendapatkan kata-kata motivasi dan lokasi mesin juruwang automatik (ATM) kami.

“Industri perbankan memerlukan perubahan kerana generasi baru lebih selesa berurusan dengan bank secara digital berbanding kaedah konvensional di cawangan-cawangan bank,” katanya.

Mohd Redza Shah berkata, pelanggan Bank Muamalat boleh muat turun aplikasi terbabit dari Google Play Store dan Apple Store serta menggunakannya dengan hanya menggunakan nama dan kata laluan sama dengan perbankan Internet.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut melancarkan sistem MyDebit untuk kegunaan lebih 20,000 pelajar dan guru membabitkan semua sekolah di daerah Langkawi.

“Buat permulaan dua sekolah dipilih melaksanakan projek perintis MyDebit iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri dan Maktab Mahmud cawangan Langkawi sebelum kita perluaskan kepada semua sekolah.

“Pembangunan aplikasi i-Mualamat Mobile dan sistem MyDebit dibuat secara pakej membabitkan kos keseluruhan RM2 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, Digital Langkawi anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu membabitkan peruntukan pembangunan lebih RM200 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 4:51 AM