DR Tengku Muhammad Fa-iz (kanan) menerima replika cek berjumlah RM500,000 sumbangan wakaf daripada Bank Muamalat yang disampaikan  Mohd Redza.
DR Tengku Muhammad Fa-iz (kanan) menerima replika cek berjumlah RM500,000 sumbangan wakaf daripada Bank Muamalat yang disampaikan Mohd Redza.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) buat julung kali bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mengutip dan menguruskan dana wakaf daripada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, kerjasama strategik itu merangkumi kutipan dan pengurusan dana wakaf termasuk wang tunai serta harta benda.

Beliau berkata, ia bertujuan memberi kemudahan kepada pelanggan bank dan orang awam untuk berwakaf.

“Kerjasama ini diuruskan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JPB) dianggotai wakil Bank Mualamat dan MAIK.

“Sumbangan akan diagihkan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi serta pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian dan Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Wakaf MAIK Muamalat (WMM) di sini, semalam.

Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan merasmikan MoU yang ditandatangani di antara Mohd Redza Shah dengan Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Pada masa sama, Bank Muamalat memberi sumbangan wakaf kepada MAIK berjumlah RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 3:42 AM