PEK (dua dari kiri) bersama duta The Store, Adibah Noor (tengah) pada majlis cabutan pemenang bertuah peraduan Imbas dan Menang, semalam. FOTO Zunnur Al-Syafiq
PEK (dua dari kiri) bersama duta The Store, Adibah Noor (tengah) pada majlis cabutan pemenang bertuah peraduan Imbas dan Menang, semalam. FOTO Zunnur Al-Syafiq
Sofyan Rizal Ishak

Sungai Buloh: The Store Corporation Bhd (The Store) optimis mencatatkan prestasi perniagaan lebih baik pada 2019 berdasarkan jangkaan situasi pasaran semasa dan perancangan yang bakal dilaksanakan tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Operasinya, Winky Pek berkata, kumpulan itu melihat sentimen dan kuasa pengguna akan menjadi lebih positif tahun ini berikutan keyakinan terhadap kerajaan baharu dan pelaksanaan polisi mereka.

Menurutnya, kumpulan itu meletakkan harapan positif setiap tahun dan berharap kerajaan dapat membantu komuniti perniagaan di negara ini mencatatkan peningkatan lebih baik.

“Untuk tahun ini, kami menyasarkan pertumbuhan dua angka dan kami yakin ia boleh dicapai melalui persekitaran pasaran semasa, pembukaan cawangan baru, kerja pengubahsuaian cawangan sedia ada dan tawaran produk berkualiti pada harga munasabah.

“Kami berharap ia membantu kami mencapai pertumbuhan terbabit dan meningkatkan penguasaan kami di pasaran runcit negara,” katanya selepas majlis Cabutan Pemenang Bertuah bagi peraduan Imbas dan Menang Bersama MyDebit, di sini.

Sehingga kini, The Store memiliki 75 cawangan pasar raya di negara ini membabitkan tiga jenama pasar raya iaitu The Store, Pacific dan Milimewa.

Beliau berkata, kumpulan merancang membuka tiga pasar raya baharu tahun ini membabitkan dua cawangan di Kuala Terengganu pada Jun hingga Julai ini dan satu pasar raya di Jerantut, Pahang awal Mei ini.

“Untuk cawangan Pacific di Kuala Terengganu, kami memperuntukkan pelaburan antara RM12 hingga RM15 juta manakala dua lagi pasar raya The Store antara RM7 juta hingga RM10 juta bagi setiap cawangan,” katanya.

The Store bakal meneruskan kerja pengubahsuaian cawangan sedia ada kepada konsep baru dikenali sebagai Market Place dan TS Concept Store yang menampilkan reka bentuk moden, selesa dan teratur untuk kemudahan pelanggan membeli-belah.

Sehingga kini, tiga cawangan diubah suai kepada konsep Market Place dan TS Concept Store membabitkan dua cawangan di Johor Bahru dan satu di Sungai Buloh, Selangor.

“Kami fokus kepada cawangan yang berpotensi untuk diubah suai dengan memberi tumpuan kepada cawangan di bandar besar terlebih dahulu berikutan permintaan dan keperluan pengguna tinggi dalam kalangan pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, kumpulan itu merancang membuka Super Jimat by The Store tahun ini iaitu konsep baru membabitkan cawangan lebih kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 10:01 AM