AQILA dipilih Ikon Wanita Melayu 2022 menewaskan sembilan peserta lain.
AQILA dipilih Ikon Wanita Melayu 2022 menewaskan sembilan peserta lain.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PELAJAR Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor Aqila Afindi menewaskan sembilan peserta lain untuk dipilih sebagai Ikon Wanita Melayu 2022 sempena program Pencarian Wanita Melayu (PWM) anjuran Plaza Shah Alam, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Aqila, 21, dari Putrajaya membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM10,000, sebentuk tiara, trofi serta hadiah lain sumbangan penaja.

Lebih istimewa, Aqila turut dimahkotakan dengan sebentuk tiara yang disempurnakan dengan tujuh mutiara Laut Selatan (juga dikenali sebagai raja mutiara) dan diapit bersama 645 berlian berbentuk bulat serta 'princess cut.'

Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Kewartawanan itu berkata, gelaran sebagai Ikon Wanita Melayu adalah satu tanggungjawab berat untuk digalas.

Namun kata Aqila, kejayaan itu menyuntik semangatnya untuk terus berusaha sebagai wanita Melayu moden dan berjaya dalam bidang yang diminatinya iaitu kewartawanan.

"Saya bermula daripada tiada apa-apa dan kini bergelar Ikon Wanita Melayu.

"Memang langsung tidak menjangka kerana semua peserta masing-masing memiliki kelebihan tersendiri, tambahan pula ini adalah penyertaan pertama dalam PWM.

"Apa pun saya percaya kepada rezeki dan gelaran itu datang bersama tanggungjawab berat," katanya.

Pada masa sama, pertandingan itu menyaksikan Nur Athiya Hazirah, 26, memenangi tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta hadiah daripada penaja.

Sementara Siti Aisyah, 26, pula, dipilih sebagai pemenang ketiga dan membawa wang tunai RM3,000 serta hadiah sumbangan penaja.

Hadiah disampaikan Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib pada majlis baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar.

PWM 2022 menerima 200 penyertaan dan daripada jumlah itu, 25 peserta disenarai pendek untuk ke separuh akhir, akhirnya 10 finalis berjaya mara peringkat akhir.

Sebelum itu, semua finalis berkampung di plaza berkenaan untuk menyertai beberapa aktiviti antaranya penjagaan etika, perunding imej, 'grooming', solekan, kebolehan memasak dan aktiviti bersama penaja.

Pertandingan berkenaan diadili lima juri profesional iaitu aktres terkenal, Vanidah Imran, penyanyi Mas Idayu, Pensyarah Fesyen UiTM, Faizal Hamid, Pengarang Urusan Majalah NONA, Kiffy Razak dan Azura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 6:55 AM