PENGUNJUNG yang hadir ke Ekspo Negaraku Kuala Lumpur 2017 sudah mencecah 15,000 orang.
PENGUNJUNG yang hadir ke Ekspo Negaraku Kuala Lumpur 2017 sudah mencecah 15,000 orang.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: “Saya sangat gembira apabila dapat berinteraksi secara ilmiah dengan bahan pameran di sini yang selama ini hanya dipelajari di dalam kelas.

“Malah banyak ilmu baru yang dapat dipelajari terutama berkaitan pembangunan negara dan sektor utama industri negara,” kata Nursyuhadah Mohd Rodzi, 16.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang itu adalah antara ribuan pengunjung Ekspo Negaraku 2017 yang terus mendapat sambutan menggalakkan sejak dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Rabu lalu.

Menurutnya, antara bahan pameran interaktif yang menarik minatnya adalah mengenai transformasi kemudahan infrastruktur jalan raya, lapangan terbang, sistem transit aliran massa hinggalah penjanaan kuasa.

“Di Kubah 2 misalnya, saya dapat melihat bagaimana kerja penggalian terowong MRT dilakukan, mencuba simulator membawa bas, gerabak MRT dan MyHSR.

“Banyak sekali pendedahan yang diperoleh mengenai projek pembangunan negara pada masa depan seperti Kubah 5 yang memaparkan masa depan negara menerusi pembangunan Bandar Malaysia untuk generasi hadapan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini semalam.

Sementara itu, murid Sekolah Rendah Agama Integrasi Ampang, Nurin Ayra Mohd Nazir, 9, berkata, dia teruja apabila dibawa ‘meneroka’ seluruh negara bermula dari kereta kabel di Langkawi menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan sehinggalah melihat pembangunan pesat di ibu negara.

“Lebih mengujakan apabila saya dibawa ke aras 118 menara Merdeka PNB118 yang bakal siap pada 2020 dan ketika itu saya lihat Kuala Lumpur membangun dengan begitu pesat sekali.

“Tentulah saya bangga bila dapat berada dalam tayangan video menara setinggi 630 meter yang bakal menjadi menara kedua tertinggi di benua Asia dan kelima tertinggi dunia itu,” katanya.

Ekspo Negaraku 2017 anjuran Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri itu dibuka secara percuma kepada pengunjung sehingga 15 Disember ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 7:10 AM