Rumah peniaga di Jalan Budiman, Kuala Terengganu, yang musnah terbakar,  hari ini. - Foto ZAID SALIM
Rumah peniaga di Jalan Budiman, Kuala Terengganu, yang musnah terbakar, hari ini. - Foto ZAID SALIM
Zaid Salim


GARA-gara api lilin, sebuah rumah tujuh bilik milik peniaga berusia 65 tahun di di Jalan Budiman, Kuala Terengganu, musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian lebih RM500,000, hari ini.

Difahamkan ketika kejadian 7.30 malam itu, bekalan elektrik di kawasan berkenaan terputus menyebabkan seorang anak mangsa yang menghidap sindrom down memasang lilin sebelum keluar ke kedai runcit milik keluarganya.

Jiran mangsa, Marina Za'aba, 42, berkata dia menyangka kepulan asap tebal dilihatnya adalah pembakaran sampah dan selepas menghampiri kawasan berkenaan, terkejut mendapati rumah jirannya terbakar.

“Kebetulan ketika itu saya di luar rumah kerana panas selepas bekalan elektrik putus apabila nampak asap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Peniaga terbabit, Ghazali Abdullah, 65, dan isteri, Radziah Yusof, 60, berada di kedai runcit berhampiran rumah mereka.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Kota, Zulbahri Sulong, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 7.49 malam.

Susulan itu, lima jentera bomba dari BBP Jalan Kota dan Kuala Terengganu dengan kekuatan 24 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati api marak membakar bahagian atas kediaman berkenaan yang keseluruhan diperbuat daripada kayu.s

"Kita berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dan api dapat dipadamkan sepenuhnya jam 8.15 malam", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 11:25 PM