Najib mengumumkan Harussani sebagai Tokoh Ulama Sepanjang Zaman pada Majlis Perdana Ulama-Umara dan NGO Islam Bersama Perdana Menteri di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Najib mengumumkan Harussani sebagai Tokoh Ulama Sepanjang Zaman pada Majlis Perdana Ulama-Umara dan NGO Islam Bersama Perdana Menteri di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


MUFTI Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria diumumkan sebagai Tokoh Ulama Sepanjang Zaman dalam Majlis Perdana Ulama-Umara dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Bersama Perdana Menteri, hari ini.

Pada majlis sama, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) Ismail Mina Ahmad dan Timbalan Presiden Aqsa Syarif Dr Fauziah Mohd Hassan masing-masing diumumkan Tokoh NGO Lelaki dan Wanita.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa diumumkan sebagai Tokoh NGO Belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan piala, sijil penghargaan dan tajaan menunaikan umrah kepada individu terbabit.

Najib dalam ucapannya berkata, anugerah itu diharap menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk terus berbakti dan dicontohi rakan lain.

"Selain itu, demi menghargai sumbangan dan peranan berterusan ulama dan NGO Islam, sukacita saya mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan sumbangan khas kepada NGO Islam berjumlah RM2 juta," katanya.

Sumbangan diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menguruskan pengagihannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 1:14 PM