LAPORAN portal Harian Metro mengenai kejadian kebakaran yang meragut nyawa tiga beranak.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai kejadian kebakaran yang meragut nyawa tiga beranak.
Hamzah Osman


IDENTITI wanita yang ditemui mati bersama anak lelakinya dalam bilik air dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Langkawi, awal pagi ini, disahkan anak keduanya.

Nursyafinas Mohd Nahar, 18, membuat pengecaman ke atas mayat ibunya, Noor Suhaila Hamat, 41, berdasarkan baju yang dipakai wanita itu.

Remaja perempuan itu turut mengesahkan mayat kanak-kanak yang ditemui mati dalam bilik air sama adalah adik bongsunya, Muhammad Nawfal, 6.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata mayat kanak-kanak, Muhammad Nawfal dicam kakaknya berdasarkan wajah mangsa.

“Bagaimanapun, belum ada pengecaman ke atas mayat lelaki yang rentung 100 peratus di ruang tamu dalam kebakaran membabitkan rumah batu beratap zink itu.

“Mayat akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat yang dijadualkan esok,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, berdasarkan maklumat diberikan Bomba dan Penyelamat, ada dua pintu di rumah terbabit dengan pintu hadapan berkunci dari dalam, manakala pintu tepi berkunci dengan mangga dari luar.

“Rumah mangsa juga didirikan di kawasan terpencil di tepi sungai dan tiada jiran yang tinggal berdekatan.

“Kebakaran dilaporkan bermula dari bahagian belakang rumah dan ketika bomba tiba di tempat kejadian rumah sudah terbakar lebih kurang 80 peratus,” katanya.

Katanya, mangsa rentung yang masih belum dibuat pengecaman itu dikatakan tauke bot ikan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Siasat sama ada wujud unsur khianat

Mayat isteri dalam keadaan bersujud

[UPDATE] Mangsa kebakaran disahkan tiga beranak [METROTV]

Lelaki rentung, rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:05 PM