Siti A'isyah Sukaimi


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) Mohd Zaid Abdul Jalil ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh agensi itu di Kensington, London.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya sehingga 4 Ogos ini.

Mohd Zaid, 46, dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9.20 pagi serta dilihat memakai kerusi roda manakala tangannya turut bergari.

Selain itu, suspek turut diwakili peguamnya, Azra Kamarudin serta Fahmi Abdul Muin dan mereka memberitahu pemberita, anak guamnya mengalami masalah kronik sakit tulang belakang dan otot.

Siasatan dijalankan oleh SPRM mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Portal Harian Metro semalam melaporkan, Mohd Zaid ditahan malam tadi bagi bantu siasatan pembelian hotel di Kensington.

Mohd Zaid memberi keterangan hampir 12 jam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bermula 9.30 pagi bagi membantu siasatan kes berkenaan sebelum ditahan 9.20 malam.

Sumber SPRM dilaporkan berkata, suspek dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan manipulasi pembelian hotel di London yang dikatakan dibeli pada harga lebih tinggi berbanding harga asal antara 2013 dan 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 11:10 AM
Mohd Zaid berkerusi roda dibawa oleh pegawai SPRM untuk memohon perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh agensi itu di London. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Zaid berkerusi roda dibawa oleh pegawai SPRM untuk memohon perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh agensi itu di London. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor