Mohd Husni Mohd Noor


BEKAS Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad dibebaskan daripada tahanan reman hari ini dengan wang jaminan RM150,000 dan dua penjamin.

Perintah tamat reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memohon lanjutan reman.

Terdahulu Isa, 68, tiba di Mahkamah Majistret pada 9.49 pagi diiringi lebih seratus penyokongnya selain isteri dan anak-anaknya.

Isa ditahan reman selama lima hari bermula 16 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung isu salah guna kuasa bagi pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London antara 2014 dan 2015.

Terdahulu, peguam bela Isa, Datuk K Kumaraendran berkata, pihak pendakwaraya memohon wang jaminan sebanyak RM1 juta namun, diberi pertimbangan oleh hakim kerana memberi kerjasama penuh kepada siasatan kes berkenaan.

Isa diwakili tujuh peguam iaitu Datuk K Kumaraendran; Dev Kumaraendran; Datuk N Sivananthan; Datuk Khairul Anwar Rahmat; Ridha Ahdar; Lavina Kumarendran; dan Ashraf Bapoo.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Isa ditahan kira-kira jam 4.24 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan hampir dua jam berhubung urusniaga hotel berkenaan.

Berita berkaitan:

Isa 'menghadap' SPRM

Rumah Isa digeledah SPRM

Isa direman 5 hari [METROTV]

SPRM tahan Isa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 11:35 AM