Datuk Nur Jazlan Mohamed. FOTO NSTP
Datuk Nur Jazlan Mohamed. FOTO NSTP
Mohd Sabran Md Sani


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan tindakan drastik ke penempatan pelarian sudah dikenalpasti bagi mengambil data biometrik pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan itu memandangkan hanya 60 daripada 150,000 pelarian berdaftar dengan KDN.

Katanya, beliau turut hairan mengapa agensi UNHCR enggan bekerjasama dengan KDN, malah tidak mengambil data biometrik kepada pelarian yang diberikan kad.

"Kita (KDN) perlu mendapatkan data biometrik pelarian dan ia penting untuk perkara berkaitan penguatkuasaan.

"Ada kalangan pelarian duduk melebihi 10 hingga 20 tahun dan perlu bagi kami mengetahui siapa meraka dan kegiatan dilakukan mereka di sini," katanya pada sidang media dalam lawatannya ke Projek Sungai Segget di Johor, sebentar tadi.

Nur Jazlan berkata, pihaknya tidak menolak ada kalangan pelarian ini dibawa masuk oleh sindiket dengan berjanji akan diberikan kad pelarian UNHCR.

Malah katanya, negara barat hanya mengambil pemegang kad kalangan bijak pandai seperti doktor dan berpendidikan berbanding tidak berpendidikan dan sakit.

"Jika barat tidak mahu ambil, mereka ini akan terus tinggal di Malaysia terutama mereka yang tidak ada pendidikan tinggi, berpenyakit dan terbabit jenayah," katanya.

Beliau berkata, KDN mahu mengawal pelarian ini dan perlu mendapatkan data biometrik bagi tujuan keselamatan termasuk nama dan identiti pengenalan mereka.

"Pada masa sama, kita tidak menyentuh status pelarian mereka," katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai Projek Sungai Segget dengan kos RM200 juta katanya, tindakan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) memberikan bayaran rundingan bagi projek menaiktaraf landskap perlu diambil perhatian.

Katanya, dengan kos bayaran khidmat perunding sehingga 30 peratus daripada nilai projek menaiktaraf sungai itu berjumlah RM57 juta ia sangat tidak berbaloi.

"Sebagai wakil rakyat, saya rasa projek ini akan menimbulkan sekali lagi kontroversi, selain masalah pernah dihadapi seperti terdahulu iaitu lalulintas dan banjir.

"Apa yang menyebabkan saya tidak puas hati projek bernilai RM57 juta bagi menaiktaraf landskap memberikan bayaran perundingan berjumlah RM20 juta.

"Saya merasa amat kecewa kerana projek yang sepatutnya mudah tapi bernilai tinggi dan ini amalan dibuat IRDA," katanya.

Katanya, mengikut amalan pihak berkuasa tempatan (PBT) projek biasa hanya membabitkan bayaran paling tinggi enam peratus.

Katanya, jika itu berlaku usaha penyelenggaraan dan pembersihan sungai tidak berjaya dan tidak lagi memenuhi hasrat asal.

"Ini kerana apabila projek dijangka bermula hujung tahun ini sehingga tempoh satu tahun setengah turut akan melaksanakan kerja pembangunan landskap dan akhirnya masalah lama seperti banjir dan kesesakan lalu lintas berulang," katanya.

Nur Jazlan kemudian mengadakan lawatan ke projek berkenaan bahkan menyifatkan keadaannya masih berbau busuk dan dapat dihidu orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 3:34 PM