NUR Jazlan  (tengah) meluahkan tanda tidak puas hati dengan keadaan Sungai Segget   ketika    melawatnya, semalam.
NUR Jazlan (tengah) meluahkan tanda tidak puas hati dengan keadaan Sungai Segget ketika melawatnya, semalam.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: “Ini betul-betul tidak munasabah,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mempertikaikan tindakan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) membayar RM20 juta kepada syarikat perunding bagi projek menaik taraf landskap Sungai Segget.

“Saya sebagai wakil rakyat kawasan tempatan risau projek ini (projek penyelenggaraan dan pembersihan Sungai Segget) sekali lagi akan menimbulkan kontroversi dan masalah terdahulu seperti kesesakan lalu lintas dan banjir kilat.

“Saya minta ahli majlis meneliti projek itu dan apa yang saya amat tidak puas hati adalah perancangan projek ini. Projek bernilai RM57 juta bagi menaik taraf landskap dan RM20 juta dibayar kepada syarikat perunding,” katanya pada sidang media selepas melawat kawasan sekitar Sungai Segget, semalam.

Menurutnya, beliau berasa amat kecewa kerana projek yang sepatutnya mudah menelan belanja tinggi dan ini dilihat sebagai amalan IRDA.

Katanya, mengikut amalan pihak berkuasa tempatan (PBT) projek biasa hanya membabitkan bayaran kepada syarikat perunding setinggi enam peratus.

“Jika itu berlaku usaha penyelenggaraan dan pembersihan sungai tidak berjaya dan tidak lagi memenuhi hasrat asal untuk menyelesaikan masalah itu.

“Ini kerana projek dijangka bermula hujung tahun ini sehingga tempoh satu tahun setengah akan melaksanakan kerja pembangunan landskap, akhirnya masalah lama seperti banjir dan kesesakan lalu lintas berulang,” katanya.

Menurutnya, lawatan keduanya di kawasan projek berkenaan bertujuan meninjau cadangan projek baru yang mahu dilaksanakan IRDA iaitu projek landskap di atas tapak projek Sungai Segget.

“Duit daripada Kerajaan Persekutuan diturunkan kepada IRDA dan selepas itu, IRDA membelanjakannya tanpa ada penyertaan atau input daripada PBT berkaitan.

“Saya rasa jika Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) buat, bayaran maksimum kepada syarikat perunding hanya enam peratus berbanding projek ini, di mana jika dikira IRDA membayar 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kos naik taraf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 4:15 AM