Mohd Luthfi Ismail (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Selasa lalu. FOTO Halim Salleh
Mohd Luthfi Ismail (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Selasa lalu. FOTO Halim Salleh
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA individu termasuk seorang wanita yang terbabit dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Dalam serbuan jam 1.15 pagi itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM7,655, telefon bimbit, kad ATM, buku catatan pinjaman dan sebuah Mercedes Benz.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah berkata, sindiket itu dipercayai sudah aktif menjalankan kegiatan sejak awal tahun lalu.

"Modus operandi sindiket ini ialah mengiklankan perkhidmatan mereka di Facebook untuk meminjamkan wang kepada mangsa.

"Mangsa kemudian diminta memberikan wang sebanyak 10 peratus daripada jumlah pinjaman kononnya sebagai kos pengurusan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Luthfi berkata, mangsa perlu memasukkan wang itu ke satu akaun bank dan dijanjikan pinjaman diserahkan dalam tempoh tiga hari.

"Bagaimanapun, selepas tempoh berkenaan, mangsa tidak mendapat wang pinjaman dan suspek gagal dihubungi.

"Semua suspek yang berusia lingkungan 20 tahun direman selama empat hari bagi disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 12:58 PM