Nurul Hidayah Bahaudin


TUJUH termasuk dua wanita yang terbabit dengan sindiket penipuan pinjaman peribadi tidak wujud ditahan dalam serbuan di kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Januari lalu dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman peribadi melalui iklan di laman sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram.

"Semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 27 tahun itu memainkan peranan sebagai perantara bagi urusan pinjaman berkenaan termasuk seorang lelaki iaitu pemilik akaun digunakan untuk transaksi pembayaran oleh mangsa.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas komputer riba, telefon bimbit, kad ATM dan buku catatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Mohd Sukri berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada mangsa berhubung sindiket ini membabitkan jumlah kerugian lebih RM13,000.

"Modus operandi dilakukan sindiket ini adalah menjanjikan pinjaman dengan kadar faedah rendah sebelum mangsa diminta menyerahkan sejumlah wang kononnya sebagai yuran proses dan guaman.

"Sebaik menerima wang yang dimasukkan ke dalam satu akaun bank, suspek akan mengarahkan mangsa untuk memasukkan sejumlah wang lagi sebelum mereka menyedari ditipu sindiket terbabit," katanya.

Katanya, penahanan suspek terbabit menyelesaikan 55 kes direkodkan di seluruh negara membabitkan jumlah kerugian lebih RM200,000 yang didalangi sindiket berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 5:13 PM
Mohd Sukri (tengah) ketika sidang media berhubung kejayaan menumpaskan  sindiket pinjaman tidak wujud di IPD Dang Wangi. FOTO YAZIT RAZALI
Mohd Sukri (tengah) ketika sidang media berhubung kejayaan menumpaskan sindiket pinjaman tidak wujud di IPD Dang Wangi. FOTO YAZIT RAZALI