Ahmad Zakaria (kiri) menunjukkan gambar pokok guarana yang ditanam di Baling, Kedah. FOTO Nursyahirah Marzuki
Ahmad Zakaria (kiri) menunjukkan gambar pokok guarana yang ditanam di Baling, Kedah. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


JABATAN Pertanian melarang pengimportan biji benih guarana dari Brazil dan kawasan tropika Amerika kerana ia mempunyai penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB).

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, pengimportan biji benih guarana secara haram dikhuatiri akan membawa masuk spora SALB yang disebabkan kulat daun (microcyclus ulei).

"Penyakit SALB akan memberi kesan kepada pokok getah dan mampu melumpuhkan industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun.

"Spora SALB ini boleh menjangkiti tanaman getah muda yang akan menjejaskan pertumbuhannya manakala jika serangan pada pokok besar ia akan menyebabkan pokok meranting, kering serta tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif dan mati," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, cerita mengenai guarana sudah mula tular di media sosial dan pihaknya turut menerima aduan daripada orang awam mengenai mengenai tanaman terbabit.

"Hasil pemantauan yang dilakukan Jabatan Pertanian mendapati ada pihak yang membawa masuk kira-kira 30,000 anak pokok guarana secara haram dan ditanam di Baling, Kedah.

"Bagaimanapun, kita sudah mengambil tindakan dengan menyita nurseri berkenaan untuk menjalankan pemantauan rapi selama enam bulan bagi memastikan kawasan berkenaan bebas dari penyakit SALB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:31 AM