Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan. FOTO MOHD ADAM ARININ
Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan. FOTO MOHD ADAM ARININ
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengingatkan penduduk di negeri itu supaya tidak terbabit dengan sebarang skim mempromosikan tumbuhan guarana, termasuk bagi aktiviti penanaman.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, tanaman guarana masih lagi diharamkan di Sabah dan kerajaan negeri tiada perancangan untuk membangunkan industri tanaman itu.

Beliau berkata, guarana yang berasal dari Amerika Selatan dikelaskan sebagai tumbuhan 'berbahaya' kerana terdedah dengan penyakit hawar daun Amerika Selatan (SALB).

"Sebarang produk pertanian yang diperkenalkan di Sabah harus melalui kajian, pembangunan dan proses pengkomersilan terlebih dahulu. guarana tidak melalui proses terbabit," katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu sebagai maklum balas terhadap penularan mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang tular baru-baru ini berkaitan pengedaran benih guarana fasa kedua kepada kira-kira 20 penduduk di Keningau.

Dalam mesej yang tular terbabit, benih pokok itu dijual RM50 dan perlu dibayar dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh pengagihan yang dijangka pada 31 Januari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, sebarang kegiatan mengimport tanaman berisiko tinggi seperti guarana harus melalui prosedur tapisan yang ketat bagi melindungi industri sedia ada di rantau ini.

"Jabatan Pertanian tidak memberi sebarang kebenaran kepada sesiapa untuk mengimport guarana.

"Kerajaan Brazil menerusi Kementerian Pertanian Ternakan dan Bekalan Makanan sudah memaklumkan negara lain bahawa pihaknya tidak membenarkan eksport benih atau buah guarana.

"Oleh itu, saya menyeru kepada orang awam untuk tidak melayan sebarang tawaran daripada mana-mana syarikat di Sabah untuk mengusahakan tanaman guarana di tanah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 5:34 PM