ANGGOTA bomba memadam kebakaran.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran.
ABDUL Rauf menunjukkan keadaan jengkaut yang dikendalinya hangus terbakar.
ABDUL Rauf menunjukkan keadaan jengkaut yang dikendalinya hangus terbakar.
myMetro

Temerloh: Seorang pemandu jengkaut cemas apabila jentera berat dikendalikannya terbakar selepas bahagian ‘lengan’ kenderaan itu tersangkut pada kabel elektrik dalam kejadian di Kampung Nasi, Lanchang, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 5. 30 petang itu, mangsa Abdul Rauf Muhammad, 25, dari Kampung Mempatih, Lanchang, tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menjalankan kerja membersihkan tanah di ladang kelapa sawit berhampiran.

“Tiba-tiba, saya dengar percikan api dari arah belakang sebelum menyedari lengan jentera tersangkut kabel elektrik yang kendur.

“Sebaik menyedari keadaan itu, saya segera bawa kenderaan ke bahu jalan dan mematikan enjin sebelum menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Abdul Rauf berkata, dalam tempoh singkat percikan api mula merebak ke bahagian tayar belakang sebelum membakar bahagian lain.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Arshad Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.35 petang sebelum empat anggota dikerahkan ke lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 6:37 AM