PATT Hong maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh pokok dan tiang lampu di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Lanchang. FOTO/IHSAN PEMBACA NSTP
PATT Hong maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh pokok dan tiang lampu di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Lanchang. FOTO/IHSAN PEMBACA NSTP
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TERCAMPAK kira-kira 30 meter sebelum maut. Itu nasib menimpa Kam Patt Hong apabila kereta Proton Wira dipandunya dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar pokok dan tiang lampu di Kilometer 161 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Lanchang, Temerloh, semalam.

Dalam kejadian 9.40 malam, Patt Hong, 24, maut berhampiran tempat kejadian apabila parah di kepala selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandunya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Murni, di sini menuju ke pekan Lanchang sebelum terbabit kemalangan.

“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa berseorangan dan dikatakan memandu dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan ketika melalui selekoh.

“Kereta mangsa terbabas dan melanggar pokok dan tiang lampu sebelum dia tercampak keluar beberapa meter dari kenderaannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kejadian turut dimaklumkan kepada waris mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk tindakan lanjut.

"Kita kini mengesan saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh memaklumkan kepada balai polis berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 4:48 PM