Jambatan Mempatih.
Jambatan Mempatih.
Oleh Amir Hamzah Nordin


Temerloh: Seorang kaki pancing dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari tebing di Jambatan Mempatih, Lanchang, dekat sini, malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Ikhram, 23, dilaporkan memancing bersama rakannya ketika kejadian jam 9.57 malam itu.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada polis pada jam 10.56 malam.

"Seramai lapan anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera.

"Pasukan operasi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar tempat kejadian sebelum ditangguhkan dan bersambung pada pagi ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, maklumat awal daripada saksi memberitahu terdengar jeritan meminta tolong daripada mangsa.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin dimaklumkan bagi membantu operasi mulai 8 pagi hari ini dan sehingga kini mangsa masih belum ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 12:39 PM