NORAZALINA maut di tempat kejadian.
NORAZALINA maut di tempat kejadian.
Shahrul Nizam Mohamad

Temerloh: Dua beranak yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang basah untuk berniaga di bazar Ramadan terbunuh apabila motosikal dinaiki bertembung motosikal Yamaha 125Z sebelum digilis treler di Kilometer 3 Jalan Mempatih-Lanchang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.50 malam, Norazalina Abdul Rahim, 41, yang menunggang motosikal Demak dari FELDA Bukit Damar, Lanchang, bersama anaknya Nur Alya Natasha Rahim, 10, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi anak mangsa, Nur Alya Waheeda, 9, cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, penunggang Yamaha 125Z, Zulallif Rashdan Raside, 21, dari Kampung Tedong, Lanchang, luka pada tangan dan kaki kiri.

Siasatan mendapati ketika kejadian, Norazalina dipercayai cuba memotong treler sebelum bertembung motosikal ditunggang Zulallif yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu mangsa bersama dua anaknya terjatuh dan digilis treler yang dalam perjalanan ke FELDA Bukit Damar dari Lanchang.

Siasatan mendapati pemandu treler itu tidak berhenti selepas kejadian sebaliknya meninggalkan lokasi berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian keadaan cuaca baik, namun jalan gelap kerana tiada lampu.

“Polis meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 5:44 AM