ISMAIL Sabri (tengah) bersama pelajar SMK Padang Saujana, Jerantut selepas melancarkan Tuisyen Rakyat@KKLW, semalam.
ISMAIL Sabri (tengah) bersama pelajar SMK Padang Saujana, Jerantut selepas melancarkan Tuisyen Rakyat@KKLW, semalam.
myMetro

Jerantut: Tuisyen Rakyat@KKLW yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam usaha meningkatkan martabat pendidikan luar bandar.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan dilihat relevan dan akan diteruskan dengan kira-kira 35,000 pelajar luar bandar disasar menyertai program itu pada tahun ini.

Katanya, walaupun sektor pendidikan lebih kepada Kementerian Pendidikan, tetapi bagi KKLW tumpuan akan diberikan kepada masyarakat luar bandar sama ada dalam pembangunan infrastruktur atau pun pendidikan.

“Oleh itu, program Tuisyen Rakyat@KKLW ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat Parlimen Jerantut di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris, Ketua Pegawai Eksekutif YPM Zakariah Md Sam, Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerantut Nosarfinaz Mohd Azman serta Pegawai Pendidikan Daerah Jerantut Ali Afandi Abdul Majid.

Katanya, Tuisyen Rakyat yang mula dilaksanakan pada 2013 adalah program tuisyen percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari keluarga berpendapatan rendah di luar bandar.

“Program yang dikendalikan oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) ini dilihat sudah mencapai kejayaan apabila dapat membantu meningkatkan prestasi dan mutu pencapaian pelajar luar bandar di seluruh negara.

“Ia seiring dengan objektif utama dalam melaksanakan program ini iaitu bagi meningkatkan tahap penguasaan dan pencapaian akademik sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan tuisyen berkenaan mempunyai tiga komponen utama bagi memastikan murid dan pelajar mendapat bimbingan yang berkesan iaitu dari segi teknik belajar secara berkesan, latih tubi dan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Sehingga kini, YPM mengendalikan kelas tuisyen percuma kepada 37,925 pelajar kurang berkemampuan luar bandar di sekolah terpilih di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 6,667 pada tahun 2013, 9,400 bagi tahun 2014, 8,869 bagi tahun 2015 dan seramai 12,989 pelajar tahun lalu.

Menurutnya, menerusi program yang dilaksanakan di peringkat Parlimen Jerantut itu, seramai 100 pelajar calon SPM yang terpilih daripada 12 sekolah di daerah ini akan mengikuti tuisyen berkenaan di SMK Padang Saujana yang berperanan sebagai pusat tuisyen.

Pelajar, Muhammad Khaizuran Akmal Suekori, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana berkata, tuisyen berkenaan bakal memberi manfaat kepada pelajar terutamanya dalam memperbaiki teknik menjawab soalan.

“Menerusi tuisyen ini, saya harap dapat memperbaiki subjek Bahasa Inggeris terutama bahagian karangan seterusnya memperoleh semua A dalam sembilan subjek,” katanya.

Seorang lagi pelajar dari SMK Sungai Retang, Nurul Fatihah Md Hakib, 17, berkata, dia bersyukur menjadi antara pelajar dari sekolahnya yang terpilih mengikuti program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 5:46 AM