Najib melayan pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO 2017 di Dewan Tun Razak 1, PWTC, semalam.
Najib melayan pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO 2017 di Dewan Tun Razak 1, PWTC, semalam.
Idris Musa


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai rekod pencapaian sangat baik dalam mentadbir negara serta mendapat sokongan menyeluruh dalam kalangan rakyat.

“Rakyat sudah tahu memilih antara kaca dan permata. Rakyat pun tahu berapa tahun rekod kita mentadbir negara. Wujudnya UMNO sebagai parti politik yang membawa negara kita kepada apa yang kita lihat hari ini.

“Dan bukan setakat itu saja, kita mempunyai visi masa depan seperti TN50 (Transformasi Nasional 2050). Mereka dapat lihat bahawa mereka boleh meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada UMNO.

“Ini bukanlah sesuatu yang mereka hendak ambil risiko mengenai masa depan. Tetapi ini adalah berdasarkan kepada bukti dan realiti yang sukar hendak dinafikan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau melihat sambutan luar jangkaan daripada rakyat terhadap majlis itu, sekali gus menunjukkan sambutan mereka kepada parti.

“Alhamdulillah saya lihat suasana sambutan jamuan hari raya ini di luar daripada jangkaan kita.

“Kalau mereka tak senang hati dengan UMNO sebagai parti yang menjadi kerajaan tak mungkin mereka hadir,” katanya.

Beliau berkata, rakyat mesti meletakkan kepercayaan kepada parti yang mempunyai struktur kepemimpinan, hierarki, kekuasaan, hala tuju dan kemampuan yang jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 1:33 PM