Najib (tiga dari kiri) bersama Ahmad Zahid (dua dari kiri) dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein melayan tetamu yang hadir. FOTO Mohd Yusni Ariffin dan Sairien Nafis
Najib (tiga dari kiri) bersama Ahmad Zahid (dua dari kiri) dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein melayan tetamu yang hadir. FOTO Mohd Yusni Ariffin dan Sairien Nafis
Idris Musa


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, UMNO adalah parti yang mempunyai rekod pencapaian sangat baik dalam mentadbir negara serta mendapat sokongan menyeluruh dalam kalangan rakyat.

“Rakyat sudah tahu memilih antara kaca dan permata. Rakyat pun tahu berapa tahun rekod kita mentadbir negara. Wujudnya UMNO sebagai parti politik telah membawa negara kita kepada apa yang kita lihat hari ini.

"Dan bukan setakat itu saja, kita mempunyai visi masa depan seperti TN50 (Transformasi Nasional 2050). Mereka dapat lihat bahawa mereka boleh meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada UMNO.

"Ini bukanlah sesuatu yang mereka hendak ambil risiko mengenai masa depan. Tetapi ini adalah berdasarkan kepada bukti dan realiti yang sukar hendak dinafikan," katanya pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut menyerikan majlis ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Jemaah Menteri dan barisan kepimpinan parti.

Majlis yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 3 petang itu menyediakan pelbagai juadah istimewa dari setiap negeri, diketuai pengerusi badan perhubungan negeri masing-masing.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau melihat sambutan luar jangkaan daripada rakyat terhadap majlis itu sekali gus menunjukkan sambutan mereka kepada parti.

"Alhamdulillah saya lihat suasana sambutan jamuan hari raya ini di luar daripada jangkaan kita.

"Kalau mereka tak senang hati dengan UMNO sebagai parti yang menjadi kerajaan tak mungkin mereka hadir," katanya.

Beliau berkata, rakyat mesti meletakkan kepercayaan kepada parti yang mempunyai struktur kepemimpinan, hierarki, kekuasaan, hala tuju dan kemampuan yang jelas.

"Tapi dalam keadaan (pembangkang) yang tidak menentu, siapa sebenarnya kuasa penentu, hala tuju, dasar dan sebagainya. Banyak orang kata mereka meletakkan masa depan mereka dalam keadaan risiko yang tinggi.

"Jadi, sebagai rakyat biasa mengapa kita perlu berbuat demikian apabila kita sedar bahawa ada UMNO, ada Barisan Nasional yang rekodnya sangat baik.

"Walaupun ada sedikit sebanyak yang mereka tak senang hati ataupun kelemahan tetapi umumnya dunia mengakui kita telah membawa negara ke tahap kejayaan yang boleh dibanggakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 5:30 PM