Gombak: Guna khidmat anggota bomba untuk potong jeriji besi dan membuka pintu berkunci.

Itu yang berlaku apabila puluhan pendatang haram yang menghuni Flat Taman Selayang Makmur berhampiran Pasar Borong Selayang di sini, berdegil enggan bekerjasama ketika diarahkan polis.

Dalam operasi khas sehingga jam 1 pagi semalam, anggota polis mengepung kawasan perumahan kos rendah itu yang menjadi ‘sarang’ pendatang tanpa izin.

Lokasi kediaman dihuni 1,200 warga asing itu digempur berdasarkan risikan dan aduan daripada orang ramai berhubung aktiviti kurang menyenangkan.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dilakukan, penghuni rumah enggan bekerjasama membuka pintu walaupun dipanggil serta diarahkan berbuat demikian berulang kali.

Akibatnya, polis terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk membuka pintu beberapa rumah menggunakan peralatan khas yang dibawa.

Polis dan anggota bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk memecahkan pintu sebuah rumah yang dihuni wanita warga Myanmar selepas wanita itu enggan menuruti arahan pihak berkuasa.

Sebaik pintu berjaya dipecahkan, seorang wanita berusia 20-an dan tinggal di negara ini secara haram ditemui di dalam sebuah bilik di rumah itu.

Pemeriksaan dalam rumah itu turut menemui sepasang kekasih dan seorang wanita yang semuanya warga Vietnam berada dalam bilik masing-masing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, seramai 69 warga asing ditahan di tiga blok rumah di kawasan pangsapuri itu serta kawasan Pasar Borong Selayang.

Menurutnya, warga asing yang ditahan membabitkan 59 lelaki dan 10 perempuan.

“Warga Myanmar menunjukkan jumlah tangkapan paling ramai iaitu 41 individu, diikuti 16 warga Indonesia, tujuh warga India dan lima warga Bangladesh.

“Seorang lelaki tempatan ditahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen kerana membenarkan pendatang haram masuk dan tinggal di premisnya. Selain itu, 55 individu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan 14 individu mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

“Semua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 4:38 PM
ANGGOTA bomba terpaksa memecahkan pintu sebuah rumah apabila penghuninya enggan bekerjasama ketika pemeriksaan Op Cantas Khas.
ANGGOTA bomba terpaksa memecahkan pintu sebuah rumah apabila penghuninya enggan bekerjasama ketika pemeriksaan Op Cantas Khas.
WARGA asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk pemeriksaan lanjut.
WARGA asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk pemeriksaan lanjut.