ANTARA PATI ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA PATI ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


ANGGOTA penguat kuasa terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk membuka pintu beberapa rumah dihuni warga asing dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pangsapuri di Ara Damansara, di Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Dalam serbuan disertai 200 pegawai dan anggota penguat kuasa JIM serta sembilan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jam 2 pagi itu, seramai 352 warga asing diperiksa.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, seramai 155 warga asing ditahan terdiri daripada 83 lelaki, 65 wanita dan tujuh kanak-kanak berusia berusia antara lima bulan hingga 50-an.

“Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam serbuan ini terdiri daripada 130 Indonesia, lapan dari Nepal serta masing-masing empat individu berasal dari Myanmar dan Bangladesh.

“Ketika operasi, kebanyakan warga asing mereka enggan membuka pintu sehingga menyebabkan anggota penguat kuasa terpaksa melakukannya (mengetuk pintu) berpuluh kali,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi itu di lokasi serbuan.

Khairul Dzaimee berkata, semakan mendapati ada warga asing yang ditahan tidak bekerja dengan majikan asal dalam sektor sepatutnya.

“Contohnya, majikan asal mereka sepatutnya di Negeri Sembilan dan bekerja dalam sektor perladangan, namun didapati bekerja sebagai juruwang dan penghantar barang di sekitar kawasan ini.

“Ada juga warga asing yang tinggal lebih masa dengan bekerja sebagai pencuci menggunakan pas lawatan sosial (PLS) dan terus tidak pulang ke negara asal.

“Malah, ada warga asing juga sudah berkahwin sesama sendiri dan mempunyai anak,” katanya.

Katanya, semua PATI berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1) (C) akta sama serta Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mempunyai dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai di sekitar kawasan ini yang membantu menyalurkan maklumat kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 8:27 AM