WANITA disyaki menyalahgunakan kedudukan direman selama enam hari. FOTO Adzlan Sidek
WANITA disyaki menyalahgunakan kedudukan direman selama enam hari. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


PENOLONG Pegawai Pertanian pusat pertanian di Seremban, direman enam hari kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan melantik suaminya menyelenggara dua projek bernilai RM30,000.

Wanita berusia 34 tahun terbabit direman bermula hari ini sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Siti Huzaifah Abdul Talib di Mahkamah Khas Reman selepas permohonan dibuat Penguasa SPRM Khairul Ikhsan.

Suspek yang memakai baju kurung hitam dibawa anggota SPRM pada 10 pagi dan perintah reman dikeluarkan pada 11.30 pagi.

Suspek ditahan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, 11.25 pagi semalam.

Suspek dipercayai menggunakan kedudukan melantik suaminya untuk melaksanakan projek menyelenggara Sistem Pengairan Projek Herba bernilai RM10,100 dan Nurseri Herba bernilai RM19,900 pada Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 5:08 PM