Raja Noraina Raja Rahim


KAKITANGAN Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah direman lima hari oleh Mahkamah Khas Reman, Seremban kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,500.

Lelaki berusia 43 tahun terbabit direman mulai hari ini sehingga 2 Mac bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mas Azmimin Ahmad selepas mendapat permohonan daripada Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Khairi Abdul Karim.

Suspek turut diwakili peguam Arrdelliza Izmaryanti Shafie.

Terdahulu, SPRM yang menerima aduan menjalankan risikan dan menahan suspek ketika meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM1,500 daripada pengadu di sebuah restoran di Kuala Pilah, 4.10 petang semalam.

Suspek dikatakan meminta habuan itu sebagai balasan kerana membantu urusan pertukaran nama dan penjualan tanah milik pengadu serta adik-beradiknya.

Berikutan itu, suspek dibawa ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:40 PM
ANGGOTA SPRM mengiring kakitangan PDT Kuala Pilah yang direman. FOTO Adzlan Sidek
ANGGOTA SPRM mengiring kakitangan PDT Kuala Pilah yang direman. FOTO Adzlan Sidek