PELBAGAI kiub rubik yang dimiliki Hariz.
PELBAGAI kiub rubik yang dimiliki Hariz.
HARIZ berazam menjuarai kejohanan peringkat dunia satu masa nanti.
HARIZ berazam menjuarai kejohanan peringkat dunia satu masa nanti.
Redzuan Muharam


Meskipun sekadar menduduki tempat ke-14 dalam Kejohanan Kiub Rubik Dunia di Paris, Perancis baru-baru ini, pencapaian Muhammad Hariz Azizan, 21, seharusnya dibanggakan kerana berjaya mewakili negara di pentas antarabangsa.

Malah, anak kesembilan daripada 10 beradik itu membuktikan bukan jaguh kampung apabila mampu meletakkan diri di kelompok 20 terbaik daripada 1,100 peserta walaupun julung kali menyertai kejohanan di peringkat dunia.

Di sebalik pencapaian itu, Muhammad Hariz atau lebih mesra dengan panggilan Hariz mengakui bukan mudah untuknya sampai ke tahap itu kerana selain kesungguhan, dia juga perlu mencari dana sendiri bagi menanggung kos perbelanjaan yang tidak dibiayai pihak penganjur.

“Saya layak secara automatik ke kejohanan peringkat dunia itu selepas menduduki tangga pertama dalam negara selain memegang rekod kebangsaan dengan catatan masa peribadi 6.55 saat.

“Secara peribadi, saya cukup gembira dengan pencapaian itu dan menganggap ia peluang keemasan untuk melangkah lebih jauh dalam permainan berkenaan.

“Namun, perjalanan untuk ke sana tidak semudah disangka kerana segala persiapan termasuk pengangkutan dan penginapan perlu diuruskan sendiri,” katanya yang berasal dari Gombak, Selangor.

Hariz berkata, demi merealisasikan impian untuk bertanding di luar negara, dia mencari penaja selain menjual kiub rubik magnetik kepunyaaannya bagi mendapatkan dana diperlukan.

Katanya, meskipun tempoh persiapan agak singkat, dia terpaksa bersiap sedia termasuk melakukan latihan selain memastikan peralatan (kiub rubik) sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Selain wang, latihan yang cukup dan keadaan kiub antara perkara paling utama sebelum menyertai kejohanan berkenaan.

“Mujurlah, semuanya dipermudahkan dan terima kasih kepada penaja serta keluarga yang banyak memberi sokongan dari awal sehingga selesai kejohanan.

“Cuma, belum rezeki saya untuk memperoleh kemenangan namun pengalaman itu cukup berharga dan berharap mampu memperbaiki pencapaian pada masa akan datang,” katanya yang memasang impian untuk menaiki takhta podium kejohanan peringkat dunia.

Hariz berkata, selain dapat mewakili negara, dia turut gembira kerana dapat memakai baju Melayu ketika mewakili negara dalam kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, Hariz berkata, dia tidak menyangka persalinan yang dipakai itu mencuri perhatian ketika di sana dan tular dalam media sosial.

“Selalunya, saya lebih selesa memakai baju panas (sweater) saja ketika pertandingan kerana lebih selesa.

“Namun, saya cuba lakukan kelainan ketika kejohanan lalu dengan memakai baju Melayu. Lagipun, inilah masanya untuk menonjolkan budaya Malaysia.

“Tak sangka pula ramai yang kongsi video dan gambar itu hingga ia jadi tular di media sosial,” katanya yang mula bermain kiub rubik ketika berumur 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 2:45 AM