PENGURUS Besar Hubungan Strategik Bank Islam, Mohd Nazri Chik (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada salah seorang penerima terpilih di bawah Projek Baiti Jannati di PPR Beringin.
PENGURUS Besar Hubungan Strategik Bank Islam, Mohd Nazri Chik (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada salah seorang penerima terpilih di bawah Projek Baiti Jannati di PPR Beringin.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya, AMAL menyerahkan 11 unit rumah kepada asnaf terpilih di Kuala Lumpur.

Program itu membabitkan peruntukan dana AMAL dan Zakat berjumlah lebih RM600,000 untuk membeli rumah yang sedang disewa oleh 11 keluarga asnaf berkenaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sebagai institusi perbankan patuh Syariah, Bank Islam amat peka dan prihatin terhadap keperluan masyarakat serta kesempitan yang dirasai golongan kurang bernasib baik, khususnya dalam mendepani persekitaran ekonomi mencabar hari ini.

"Pelbagai inisiatif diadakan bagi menangani dan membantu golongan yang layak, termasuk penyediaan kediaman selesa.

"Sehubungan itu, kami sudah memulakan Program Bantuan Rumah Bank Islam pada 2008 bagi menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk golongan paling terkesan dan layak.

"Dimulakan di negeri Kelantan dan diikuti Terengganu, program ini kemudiannya diperluaskan ke seluruh negara.

"Setakat ini, ia memanfaatkan lebih 300 asnaf membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM9 juta," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tahun ini Program Bantuan Rumah Bank Islam diteruskan melalui kerjasama dengan Program Baiti Jannati kelolaan DBKL bagi memberikan pemilikan rumah kepada asnaf miskin bandar yang menetap di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL.

Mereka tergolong daripada golongan miskin bandar yang berdaftar di bawah sistem e-kasih, Portal Pembasmian Kemiskinan yang diwujudkan kerajaan.

Selain itu, Mohd Muazzam berkata Bank Islam turut memperelokkan fizikal rumah dan membekalkan perabot tambahan dan peralatan elektrik supaya tempat tinggal mereka lebih sempurna dan selesa.

Beliau berkata, selain pemberian milikan rumah, AMAL Bank Islam turut menyumbang baucar berbuka puasa, hamper Hari Raya dan wang tunai kepada penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 3:31 PM