SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket pelacuran di Taman Sea, Petaling Jaya, hari ini. (Gambar kanan) kondom ditemui disorok dalam mesin penapis air. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket pelacuran di Taman Sea, Petaling Jaya, hari ini. (Gambar kanan) kondom ditemui disorok dalam mesin penapis air. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SOROK kondom dalam mesin penapis air. Itu tindakan dilakukan sindiket pelacuran bagi mengaburi pihak berkuasa mengenai aktiviti persundalan mereka.

Malah, premis terletak di Taman Sea, Petaling Jaya itu turut berselindung di sebalik pusat urut refleksologi.

Bagaimanapun, tindakan mereka terbongkar apabila premis terbabit diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 3.30 petang hari ini.

Pegawai Operasi D7 Selangor, Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, pihaknya menahan 18 wanita warga asing dari Kemboja, China dan Vietnam serta seorang wanita tempatan dipercayai penjaga premis terbabit.

“Ketika serbuan dijalankan semua warga asing berkenaan sedang menunggu pelanggan.

“Pemeriksaan di premis itu menemui sejumlah kondom disorok di dalam mesin penapis air automatik,” katanya.

Rozam berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit mempromosikan kegiatan berkenaan melalui aplikasi Wechat.

Beliau berkata, pelanggan perlu membayar RM160 bagi mendapatkan khidmat seks disediakan.

“Wanita boleh dipilih di tingkat satu premis terbabit dan jika bersetuju, pelanggan akan naik ke tingkat dua untuk melakukan hubungan seks.

“Kami turut merampas empat tuala, dua botol minyak urut, dua paket tisu, satu telefon pintar, 70 keping kondom dan wang tunai RM540.

“Semua warga asing kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen, Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 9:53 PM