Ab Ghani (kanan) melihat harga barangan keperluan pengguna di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas selepas melancarkannya di Pasaraya Pacific Hypermarket KB Mall. FOTO Syamsi Suhaimi
Ab Ghani (kanan) melihat harga barangan keperluan pengguna di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas selepas melancarkannya di Pasaraya Pacific Hypermarket KB Mall. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan memantau hampir 20 pasar besar di negeri ini yang sengaja menaikkan harga barang keperluan setiap kali musim perayaan.

Pengarah KPDNKK negeri, Datuk Ab Ghani Harun berkata, pemantauan di pasar yang dilabelkan ‘hot spot’ itu dilakukan sejak dua bulan lalu termasuk sempena perayaan Krismas.

Katanya, bagi memastikan peniaga di pasar besar berkenaan tidak menaikkan barang yang dijual dengan sesuka hati, pihaknya menempatkan pegawai yang berpakaian biasa.

"Setiap kali musim perayaan, kami mempunyai inovasi sendiri untuk mengekang kenaikan harga barang kawalan dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga tidak beretika.

"Langkah ini menunjukkan keprihatinan dan betapa seriusnya pihak berwajib dalam menangani kos sara hidup serta kenaikan harga barang.

"Pihak kami sentiasa mengambil langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan dengan melaksanakan kawalan harga secara perundangan melalui Skim Kawalan Harga Musim Perayaan untuk menyekat kenaikan harga tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2017 Peringkat Negeri Kelantan di Pasaraya Pacific KB Mall, hari ini.

Ab Ghani berkata, sebanyak 11 jenis barangan terkawal dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2017 yang diadakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini.

Katanya, peniaga diwajibkan menjual barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan serta meletakkan tanda harga khas warna merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain.

"Walau bagaimanapun, peniaga digalakkan untuk menjual dengan lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya mereka memperoleh barangan dengan lebih murah.

"Bagi peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini mereka akan diambil tindakan di Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 7:21 PM