Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Ramadan semakin menghampiri penghujungnya. Hampir sebulan kita berpuasa dan tinggal kira-kira seminggu saja lagi umat Islam akan meninggalkan bulan penuh keberkatan ini.

Adik doakan semoga baki Ramadan yang tinggal ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya memperoleh keberkatan yang berlipat ganda.

Justeru, sama-samalah kita berdoa supaya dapat menyelesaikan ibadah puasa ini dengan sempurna. Jangan saat-saat akhir tewas dengan godaan kuih raya.

Di sebalik Ramadan yang akan melabuhkan tirainya, hari raya pula bakal tiba dan adik ingin mengingatkan kepada semua supaya tidak boros apabila berbelanja.

Adik juga mahu menekankan konsep perbelanjaan mengikut kemampuan diri serta berbelanja secara berhemat.

Kita kadangkala sering merungut mengenai isu kenaikan harga makanan, harga bahan api serta mengeluh mengenai masalah ekonomi negara yang didakwa semakin jatuh.

Tetapi pada adik, perbelanjaan orang ramai sering dilihat tidak menggambarkan situasi itu. Masih ramai yang belanja berlebihan.

Boleh dikatakan setiap kali menjelang Aidilfitri, ramai daripada kita yang rambang mata ketika membeli-belah sampaikan selepas hari raya, masing-masing terpaksa ikat perut.

Belum lagi yang pening kepala sebab fikir bagaimana hendak selesaikan hutang keliling pinggang. Ditambah pula dengan budaya meminjam duit setiap kali hari raya.

Ada juga yang sanggup membuat pinjaman daripada bank semata-mata mahu mengikut kemahuan diri, menunjuk-nunjuk atau mengikut ‘trend’ terkini.

Orang lain pakai kasut mahal, beg baru, gelang baru kita pun nak juga merasa walaupun tidak mampu.

Iyalah, nanti nak muat naik gambar dalam Instagram (IG) baru nampak ‘wow’ ya?

Pelik betul ada manusia yang menunjuk-nunjuk walaupun di luar kemampuan. Biar susah asal bergaya.

Adik harap tiada dalam kalangan kita yang macam itu. Bagi adik, ukurlah baju di badan sendiri. Beli barang yang perlu mengikut kemampuan diri dan jangan sekali-kali boros ketika berbelanja.

Lagipun, Islam sememangnya menggalakkan supaya umatnya membudayakan amalan berjimat cermat dan belanja dengan berhemah. Ajaran Islam juga melarang perbuatan membazir dan sia-sia.

Adik ada cadangan untuk meringankan beban membuat persiapan menjelang hari raya. Selama 12 bulan dalam setahun, mustahil kita tidak boleh menyimpan sedikit daripada jumlah pendapatan bulanan kita untuk mendapatkan bajet hari lebaran yang mencukupi.

Memanglah sukar jika kita terpaksa mengasingkan sedikit pendapatan bulanan. Namun jika ia dipraktikkan pasti tiada masalah kewangan timbul.

Tiadalah kita sakit kepala apabila musim perayaan menjelang tiba. Senang saja sebenarnya, kan? Ia boleh dimulakan dari sekarang untuk persiapan tahun depan.

Alhamdulillah, tahun ini adik bersyukur kerana tidak perlu membeli busana baru kerana mendapat tajaan daripada beberapa pihak.

Rasanya lebih baik adik pakai baju yang ditaja itu berbanding membeli pakaian baru. Mesti membazir.

Walaupun kepuasan itu berbeza kalau beli sendiri, tapi adik memang tidak suka hendak habiskan duit untuk benda yang sudah ada. Ini kerana ia lebih daripada cukup.

Bukan apa, tak elok boros. Kalau setakat beli dan simpan dalam almari lebih baik tak payah. Takut nanti baju yang dibeli itu digigit lipas.

Adik pula memang takut lipas! Haha! Tak nak cakap banyak lagi kerana rasanya tidak terlalu awal untuk adik mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua.

Apapun, adik dapat rasakan dalam sehari dua ini bermulalah perjalanan warga kota untuk balik kampung menyambut hari raya.

Adik pula terbang ke Singapura Jumaat lalu bersama rombongan Tonton untuk menjayakan satu majlis SelebFest Ramadan 2017 di Pusat Konvensyen Suntec yang berlangsung selama dua hari.

Pada kesempatan ini adik suka mengingatkan diri sendiri dan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu. Biar apa juga pengangkutan yang digunakan, pastikan perjalanan kita selamat sampai ke destinasi.

Sebelum itu, jangan lupa duit raya untuk adik tahun ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir batin. #BelanjaRaya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 3:39 AM