GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia menyokong langkah kerajaan yang meluluskan kadar kenaikan 10 peratus bagi tambang bas ekpres kategori perkhidmatan ekonomi sempena perayaan Aidilfitri.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, kenaikan itu wajar kerana mengambil kira kos operasi yang akan meningkat tiga kali ganda pada waktu itu.

Menurut Mohd Rofik, tanpa kenaikan itu, kemungkinan berlaku kekurangan bas yang beroperasi sekali gus menyukarkan pengguna untuk ke pulang beraya ke destinasi dituju.

"Persatuan yang mengusulkan cadangan untuk kenaikan itu kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan hadir ke mesyuarat semalam bagi membincangkannya.

"Syukur, ia mendapat pertimbangan Jemaah Menteri yang meluluskannya.

"Kelulusan dan kenaikan kadar tambang sewaktu musim perayaan perlu bagi membayar gaji pemandu yang berhak menerima bayaran tiga kali ganda kerana ikutkan, tiada yang mahu kerja waktu itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Rofik berharap orang ramai terutama pengguna bas ekspres memahami yang kenaikan itu bukan disengajakan untuk mengaut keuntungan.

"Pemandu lazimnya akan bawa penumpang ke lokasi dan pulang kosong (tanpa penumpang).

"Disebabkan itu, ada caj tambahan untuk menampung kos pemandu pulang.

"Apa pun, orang ramai diingatkan membeli tiket di kaunter atau sistem tiket dalam talian. Jangan beli di tepi jalan daripada kutu tiket lebih-lagi dalam musim perayaan," katanya.

Semalam, APAD dalam satu kenyataan memaklumkan kadar tambang bas ekpres kategori perkhidmatan ekonomi mengalami kenaikan 10 peratus sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri mulai 4 hingga 17 April depan.

KAtanya, Jemaah Menteri meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer dan pelaksanaan surcaj itu akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori berkenaan kepada RM0.102 skm berbanding kadar tambang biasa RM0.093 skm.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 4:24 PM