Lelaki yang dilaporkan terjun ke laut dalam keadaan bogel ditemui di Tanjung Lipat, Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis
Lelaki yang dilaporkan terjun ke laut dalam keadaan bogel ditemui di Tanjung Lipat, Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


SEORANG lelaki berusia 20 tahun yang dilaporkan hilang selepas terjun ke laut dalam keadaan bogel ditemui selamat di tepi pagar Masjid Bandaraya, Likas, dekat Kota Kinabalu, kira-kira 5 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam menyatakan ternampak seorang lelaki terjun ke laut dalam keadaan bogel di Taman Teluk Likas.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian dan melihat lelaki terbabit berenang di tengah laut di Tanjung Lipat sebelum hilang dari pandangan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilakukan dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya di sini, hari ini.

Chandra berkata, kira-kira 5 petang, mangsa ditemui semula di tepi pagar Masjid Bandaraya dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

"Siasatan mendapati mangsa dikatakan terdengar suara menyuruhnya pulang ke rumah di Pulau Gaya dan pemeriksaan lanjut mendapati dia terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Mangsa seterusnya dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Luyang untuk pemeriksaan pakar dan pemantauan mangsa akan diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 10:25 PM