ANGGOTA polis mengangkut mayat mangsa. FOTO Mohd Adam Arinin
ANGGOTA polis mengangkut mayat mangsa. FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Hutang dipercayai motif dalam kes pembunuhan penjual telefon bimbit oleh rakannya sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak berhampiran Masjid Bandaraya, Jalan Teluk Likas, Kota Kinabalu, malam tadi

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, hasil siasatan polis mendapati motif kejadian dipercayai suspek berhutang dengan mangsa yang juga rakannya.

"Siasatan mendapati suspek adalah orang terakhir yang melihat mangsa dan soal siasat ke atas suspek mendapati mangsa dipukul menggunakan benda tumpul di kawasan tempat letak kenderaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum mayat mangsa dibuang ke kawasan semak berhampiran Masjid Bandaraya dengan kenderaan suspek.

"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas kenderaan milik suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan hukuman mati mendatori (gantung sampai mati), katanya.

Ahad lalu, mangsa, Mohd Ali Baba Kirim Abdullah, 23, dilaporkan hilang dan kira-kira 7 malam tadi mayatnya ditemui di kawasan semak berhampiran Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dalam keadaan hampir bogel.

Berita berkaitan

Penjual telefon hilang rupanya dibunuh: http://bit.ly/1JgTMW7

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 12:51 PM