KEADAAN motosikal Muhammad Samsul yang hancur bertembung Myvi.
KEADAAN motosikal Muhammad Samsul yang hancur bertembung Myvi.

Kota Bharu: Seorang juruukur maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta di Kok Lanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, mangsa Muhammad Samsul Azraf Annuri, 28, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM dalam perjalanan dari rumah ibu mentuanya di Kampung Dewan Beta ke rumahnya di Kampung Sokor di sini.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Myvi.

“Pertembungan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan dari Ketereh ke Kok Lanas.

“Mangsa parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 12:46 AM