PEKET plastik berisi syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu. FOTO | Mohd Ruzaini Zulkepli
PEKET plastik berisi syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu. FOTO | Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


TIGA individu termasuk pasangan suami isteri dicekup polis selepas didapati memiliki 38 peket dadah syabu yang disorokkan di dalam sebuah beg pinggang dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam serbuan jam 11.45 pagi itu, semua suspek berusia antara 28 hingga 43 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran syabu di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, polis terdahulu melakukan serbuan di lokasi berkenaan dan berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 43 tahun kerana disyaki sebagai pengedar dadah.

"Ketika serbuan itu dilakukan, kedua-dua suspek lelaki dengan salah seorang daripadanya adalah warga asing cuba bertindak agresif sebaik dihampiri pihak polis.

"Selepas mereka berjaya ditahan di tempat kejadian, seorang wanita yang disyaki isteri salah seorang daripada suspek mengambil sebuah beg pinggang milik suaminya lalu cuba membuangnya.

"Hasil pemeriksaan lanjut, beg berkenaan mengandungi sebanyak 38 peket plastik berisi dadah jenis syabu," katanya, di sini, hari ini.

Chandra berkata, jumlah rampasan dadah syabu yang berjaya dirampas dalam kejadian itu adalah bernilai RM1,500 dan dipercayai cuba diedarkan di pasaran setempat.

"Ketiga-tiga individu termasuk wanita terbabit kini direman sehingga 13 Jun hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 8:33 PM