M Chandra menunjukkan paket dadah jenis syabu yang dirampas. FOTO Mohd Adam Arinin
M Chandra menunjukkan paket dadah jenis syabu yang dirampas. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis memberkas dua lelaki tempatan selepas didapati memiliki syabu seberat 101.10 gram dalam satu serbuan di kawasan parkir City Mall berhampiran Jalan Iramanis, Luyang,di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, dua suspek berusia 31 dan 34 tahun dicekup oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketika diserbu, kedua-dua suspek dipercayai berada di dalam sebuah kereta Proton Saga dan disyaki sedang menanti ketibaan pelanggan mereka untuk urusan jual beli dadah berkenaan.

“Salah seorang daripada suspek bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian namun sempat ditahan oleh anggota polis yang bertugas.

“Dipercayai ketika suspek itu melarikan diri, dia turut melempar satu bungkusan plastik berwarna hitam ke jalan raya dan hasil pemeriksaan ia mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi dadah syabu, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, sebentar tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 1:01 PM