Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Samsualan Samsudin (kiri) menunjukkan bungkusan berisi dadah jenis ganja yang berjaya dirampas. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Samsualan Samsudin (kiri) menunjukkan bungkusan berisi dadah jenis ganja yang berjaya dirampas. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua pelajar kolej selepas didapati memiliki ganja seberat 301.48 gram dalam dua tangkapan berasingan di Api-Api Centre dan Luyang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, seorang lelaki yang juga pelajar kolej berusia 20 tahun berjaya diberkas di hadapan sebuah bank berhampiran Api-Api Centre oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada jam 8.10 malam.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, polis berjaya menahan suspek yang dipercayai sedang membawa satu bungkusan warna hitam di tangan kanannya.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bungkusan itu mengandungi plastik lutsinar berisi empat ketulan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 236.63 gram dan suspek kemudiannya di bawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut," katanya, di sini, hari ini.

Chandra berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya kemudiannya menjalankan serbuan di tepi jalan berhadapan sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Damai dan berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 27 tahun, termasuk seorang lagi pelajar kolej.

"Ketika diperiksa, kita turut menemukan ganja seberat 64.85 gram daripada dua suspek itu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah seberat 301.48 gram yang bernilai RM4,000," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 4:35 PM