Sebahagian umat Islam yang menikmati hidangan berbuka puasa. - FOTO Agensi
Sebahagian umat Islam yang menikmati hidangan berbuka puasa. - FOTO Agensi
Agensi

Madinah: Hampir 1.3 juta bungkusan makanan untuk berbuka puasa diagihkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dalam tempoh 10 hari pertama bulan Ramadan kali ini.

Saudi Gazette melaporkan, Ramadan tahun ini juga adalah pertama kali acara berbuka puasa beramai-ramai diadakan semula di kedua-dua masjid paling suci itu selepas tempoh dua tahun.

Dalam tempoh 10 hari pertama bulan Ramadan juga, lebih 1.25 juta botol air Zamzam diagihkan kepada jemaah di Masjid Nabawi.

Malah, 14,000 bekas air Zamzam diisi sebanyak tiga kali sehari dan diedarkan ke seluruh masjid itu, menurut Saudi Gazette.

Proses menghulurkan derma untuk juadah berbuka puasa di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dibenarkan semula pada Ramadan tahun ini selepas kebanyakan sekatan Covid-19 ditarik balik di Arab Saudi sejak awal bulan April.

Selain membuat sumbangan untuk juadah berbuka puasa secara dalam talian, sesiapa saja termasuk warga asing dari luar Saudi juga boleh menyerahkan langsung wang derma itu kepada beberapa yayasan di Makkah dan Madinah.

Derma dalam mata wang Riyal Saudi itu akan dibelanjakan untuk makanan berbuka puasa buat jemaah di kedua-dua masjid berkenaan.

Setiap hari, orang ramai yang ingin berbuka puasa di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi akan ditempatkan di dalam dan luar kawasan masjid.

Setiap seorang diberikan satu bungkusan khas daripada pihak yayasan yang berisi makanan kering seperti roti, biskut dan kurma untuk berbuka puasa.

Terdapat penderma yang menyumbang makanan atau minuman seperti teh, kopi dan jus kepada orang ramai.

Selesai berbuka, kawasan masjid segera dibersihkan untuk jemaah menunaikan solat Maghrib.

Mengikut tradisi di Saudi, buka puasa dimulakan dengan juadah ringan dan juadah berat seperti nasi hanya dimakan selepas menunaikan solat Maghrib.

Solat Isyak lazimnya dilewatkan sejam untuk jemaah menikmati makanan dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:01 PM