Mohd Husni Mohd Noor


SEORANG koperal polis direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Lelaki 52 tahun itu menjadi individu ke-10 direman bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Perintah reman tujuh hari itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan suspek bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan ditahan SPRM, 2.15 petang semalam di rumahnya di kuarters IPK sama.

Semalam, sembilan individu termasuk dua Ketua Polis Daerah (KPD) direman enam hari bermula semalam sehingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret pada 9 pagi berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:30 PM
Koperal polis menjadi individu ke-10 direman membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Koperal polis menjadi individu ke-10 direman membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka. FOTO Mohd Fadli Hamzah