Mohd Nasif Badruddin


Kepelbagaian latar belakang dan kemahiran berbeza pelajar pondok menjadi nilai tambah buat mereka bertukar ilmu dan belajar perkara baru selain pengajian agama.

Waktu rehat selepas ‘menadah kitab’ di Madrasah Irshad al-Ashraf al-Wataniah, Sungai Bakap, Pulau Pinang dimanfaatkan pelajar dengan berkongsi pelbagai ilmu kemahiran hidup.

Bagi Muhammad Syafiq Mat Nai, 25, yang sudah tiga tahun belajar di pondok itu, hidup jauh di perantauan menjadikan hubungan silaturahim sesama pelajar amat erat dan mereka saling tolong-menolong menyelesaikan permasalahan dihadapi.

“Hidup di pondok mengajar kita untuk berdikari kerana semuanya perlu dilakukan sendiri, tidak seperti di rumah yang hampir semuanya disediakan keluarga.

“Di sini, pelajar tidak pandai memasak akan belajar dengan pelajar senior yang pandai memasak dan kami berkongsi menyediakan juadah dalam kumpulan kecil lima atau enam orang berbanding memasak berseorangan,” katanya.

Menurutnya, memasak beramai-ramai bukan saja menjimatkan kos, malah mengeratkan silaturahim dan mereka dapat belajar banyak perkara berkaitan.

Selain itu, katanya, pelajar di pondok juga ada banyak lagi kemahiran lain seperti ada yang pandai menggunakan komputer, membaiki motosikal, bertukang dan pelbagai lagi.

“Jadi apa saja masalah diperbaiki bersama dan orang pandai mengajar rakan mereka ilmu baru secara percuma,” katanya yang berasal dari Jerantut, Pahang.

Muhammad Syafiq yang dulunya belajar di sebuah pusat tahfiz berkata, minat mendalami agama menjadi penyebab dia menyambung pengajian di Madrasah Irshad al-Ashraf al-Watniah.

Katanya, pondok masih relevan kerana pengajiannya lebih mendalam dan tetap mendapat sambutan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia.

“Kehidupan di pondok sama seperti di kampung kerana dapat bergaul bersama masyarakat, malah pelajar bebas bermain bola sepak atau sepak takraw pada waktu petang.

“Persepsi yang mengatakan hidup di pondok terkongkong tidak benar sama sekali, sebaliknya mereka yang berfikiran begitu perlu tinggal di pondok menyelami sendiri rutin harian di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 5:39 AM
PELAJAR mengisi waktu rehat dengan mengulang kaji kitab di pondok.
PELAJAR mengisi waktu rehat dengan mengulang kaji kitab di pondok.
BERLATIH nasyid antara aktiviti masa lapang pelajar pondok.
BERLATIH nasyid antara aktiviti masa lapang pelajar pondok.