PELAJAR Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah dalam kelas.
PELAJAR Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah dalam kelas.
KEADAAN rumah panjang yang dibina tahun 1975 yang dijadikan asrama penuntut lelaki di Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah.
KEADAAN rumah panjang yang dibina tahun 1975 yang dijadikan asrama penuntut lelaki di Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah.
PELAJAR berjalan menuju ke sekolah dengan melalui laluan utama pondok penempatan mereka.
PELAJAR berjalan menuju ke sekolah dengan melalui laluan utama pondok penempatan mereka.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin


Pendidikan aset penting bagi mencapai wawasan sesebuah masyarakat dan negara. Sejarah membuktikan pendidikan di Tanah Me­layu bermula dengan pendidikan Islam sejak kurun ke-15.

Pada zaman itu, guru agama menjelajah ke seluruh Kepulauan Melayu mengajar hal berkaitan Islam khususnya al-Quran dan hukum-hakam agama.

Hasil daripada pendidikan awal berkenaan, wujudnya institusi pengajian pondok secara persendirian yang diasaskan tok guru yang kebanyakannya menamatkan pengajian di Makkah.

Antaranya, pusat penyebaran ilmu dikenali Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah di Jalan Stesen, Sungai Bakap, Nibong Tebal yang diasaskan pada 1953 dan didirikan di atas sebidang tanah seluas enam ekar.

Pengetuanya Abdul Aziz Yusoff, 61, berkata, madrasah itu diasaskan Tok Guru Haji Yusoff Saad bersama ahli keluarganya yang diamanahkan sebagai pemegang amanah terhadap segala harta wakaf di pusat pengajian pondok itu.

“Bermula daripada 12 penuntut, bilangan kemasukan ke madrasah ini meningkat dari setahun ke setahun berikutan kesedaran ibu bapa dan masyarakat.

“Ibu bapa mula menyedari pentingnya pendidikan agama kepada anak yang mampu membentuk peribadi mulia,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pusat pengajian itu mengamalkan corak pembelajaran yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Sistem Umumi dan Sistem Nizami.

“Umumi atau lebih mudah difahami dengan pengajian Kitab Thurath atau Kitab Kuning sistem yang berkesan dalam bidang pendidikan dan tarbiah.

“Nizami pula sistem pengajian dalam bilik darjah yang menyediakan sijil kepada pelajar selepas tamat pengajian,” katanya.

Menurutnya, madrasah ini masih mengekalkan bentuk pengajian pondok yang popular dalam kalangan masyarakat Islam terutama pada akhir abad ke-19 dan 20.

“Sehingga kini, ada 350 pondok dihuni penuntut membabitkan pasangan suami isteri, pesara, warga emas, ibu tunggal dan golongan muda berusia antara 13 hingga 25 tahun.

“Sebanyak 50 pondok menempatkan penuntut lelaki, manakala selebihnya tinggal di sebuah rumah panjang dua tingkat yang dibina pada 1975 dan di sebuah blok lain yang ada asrama,” katanya.

Katanya, penuntut dikenakan bayaran RM60 sebulan bagi penginapan di pondok berkenaan dan segala makan minum disediakan setiap hari.

Abdul Aziz berkata, pondok yang dihuni warga emas berusia antara 60 hingga 80 tahun kini sudah dibaiki dan ‘dimodenkan’ dan dihuni 300 orang termasuk 46 pasangan suami isteri.

“Golongan berkenaan dikenakan bayaran pendaftaran pengajian RM20 setahun selain perlu membayar yuran pondok RM26 sebulan tidak termasuk bil utiliti.

“Kebanyakan penghuninya berumur antara 50 hingga 80 tahun, malah pondok berkenaan dianggap bagaikan rumah mereka sendiri apabila ada antara mereka membaiki sendiri kerosakan pondok menggunakan wang sendiri bagi yang berkemampuan,” katanya.

Menurutnya, madrasah itu ada tiga blok merangkumi pusat sumber, pejabat, bilik darjah dan asrama penuntut perempuan serta penuntut lelaki yang dihuni sebahagian daripada 600 pelajar.

Beliau berkata, madrasah berkenaan ada 25 tenaga pengajar dan mereka memberi peluang kepada sesiapa saja termasuk pasangan suami isteri, warga emas serta ibu tunggal untuk tinggal di situ bagi mendalami ilmu agama.

Menurutnya, pihaknya baru menaik taraf surau dengan kos RM700,000 hasil sumbangan orang ramai dan sebuah institusi perbankan dua tahun lalu yang mampu memuatkan 900 jemaah dalam satu masa.

Bagi yang ingin menyalurkan bantuan atau sumbangan boleh menghubungi talian 04-5826389 atau menyumbang ke akaun Bank Islam atas nama Madrasah Irshad Al-Ashraf Al-Wataniah (nombor akaun 08022010011757) manakala bagi pembangunan golongan warga emas melalui AmIslamicBank akaun 120-002-015063-2 atas nama Abdul Aziz Badray atau Ab Wahab Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 11:19 AM