ANTARA kawasan yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO ihsan Bomba/Polis
ANTARA kawasan yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO ihsan Bomba/Polis
Muhammad Apendy Issahak


SERAMAI 32 penduduk daripada 10 keluarga terjejas akibat banjir kilat di Kampung Baru Ringlet, Cameron Highlands, 5.30 petang, hari ini.

Kejadian berpunca daripada air Sungai Ringlet melimpah selepas hujan lebat selama kira-kira dua jam di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, air sungai mula melimpah 5.30 petang hingga 6 petang dan membanjiri rumah kediaman berhampiran selain Balai Polis Ringlet.

"Keseluruhannya 11 premis terjejas membabitkan tiga unit kediaman polis, tujuh rumah dan stor pakaian.

"Jumlah penghuni terbabit adalah 10 keluarga iaitu lapan anggota dan keluarga polis dari tiga keluarga dan penduduk awam 24 orang babitkan tujuh keluarga," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, banjir kilat berlaku dalam tempoh 30 minit sahaja dan premis yang terjejas mengalami kerosakan pakaian dan perabot manakala kenderaan yang turut terjejas adalah tiga kereta satu pacuan empat roda dan satu motosikal.

"Tiada kerosakan terhadap Balai Polis Ringlet kerana air limpahan tidak masuk ke dalam balai cuma kediaman keluarga anggita sahaja yang terjejas termasuk rumah Ketua Balai. Kediaman yang terjejas adalah di dalam kawasan balai.

"Hujan mulai reda bermula pada 6.30 petang dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Menurutnya, tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 10:21 PM