PEGAWAI SPRM membawa pengurus projek TNB dan wanita pemilik syarikat pengubahsuaian ke Mahkamah Majistret Putrajaya sebelum dibebaskan dengan jaminan  RM 20,000 setiap seorang.
PEGAWAI SPRM membawa pengurus projek TNB dan wanita pemilik syarikat pengubahsuaian ke Mahkamah Majistret Putrajaya sebelum dibebaskan dengan jaminan RM 20,000 setiap seorang.

Putrajaya: Dua individu termasuk seorang pengurus projek Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang ditahan reman sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan dakwaan rasuah tender pembekalan barangan pengubahsuaian pejabat TNB, dibebaskan semalam.

Perintah berkenaan dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret, di sini.

Nik Isfahanie membenarkan pengurus projek berusia 55 tahun dan suspek kedua yang juga wanita berusia 51 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Terdahulu kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Kedua-dua individu terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mei lalu di sebuah lokasi di Lembah Klang.

Menurut sumber SPRM, pengurus terbabit didakwa menerima sebuah kereta BMW 5 Series daripada wanita terbabit selaku pemilik syarikat pengubahsuaian sebagai habuan atas pemberian tender berkenaan.

Tambah sumber, sepatutnya agihan tender itu perlu dilakukan terhadap syarikat-syarikat panel di bawah TNB, sebaliknya pengurus terbabit meluluskan tender kepada kontraktor lain.

“Pembekalan barangan terbabit dipercayai berlaku pada 2014 bagi mengubah suai beberapa pejabat TNB di sekitar ibu negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 1:38 PM