PEGAWAI SPRM membawa suspek ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
PEGAWAI SPRM membawa suspek ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Mahkamah Majistret di sini membebaskan pengurus besar agensi kerajaan selepas direman tujuh hari bagi membantu siasatan menyalahgunakan kedudukan untuk memberi lebih 50 projek bernilai RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membebaskan suspek lelaki berusia 62 tahun itu dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, suspek dilihat dibawa ke mahkamah menaiki kereta diiringi dua pegawai SPRM dengan bergari.

Lelaki berkenaan dilihat memakai kemeja T berwarna biru muda dan berjaket hitam, serta berseluar jeans biru, selain memakai topeng mulut dan hidung tiba di mahkamah, 9.50 pagi.

Suspek kemudian dilihat dibawa keluar dari bangunan mahkamah, 11.25 pagi.

Pengurus besar berkenaan ditahan SPRM pada 15 Februari lalu menerusi Ops Nafas kira-kira jam 11 pagi, di pejabatnya di Gombak, Selangor manakala isterinya ditahan di kediaman mereka di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, isterinya yang berumur 38 tahun itu dibebaskan selepas diambil keterangan oleh SPRM pada hari sama.

Suspek didapati menyalahgunakan kedudukannya sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Pengurus Besar di agensi kerajaan berkenaan dari 2014 hingga 2016, sebelum dilantik sebagai Pengurus Besar pada September tahun lalu.

Siasatan awal mendapati pengurus besar itu menyerahkan lebih 50 projek agensi kerajaan itu yang bernilai RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya yang ditubuhkan pada 2010 dan 2015.

Suspek juga dipercayai terbabit secara langsung dalam proses perolehan pembekalan sebut harga berdasarkan tatacara perolehan yang ditetapkan oleh agensi itu serta pegawai yang bertanggungjawab meluluskan pembayaran kepada syarikat milik isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 1:11 PM