PEGAWAI SPRM membawa pengurus projek TNB dan pemilik syarikat wanita untuk dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
PEGAWAI SPRM membawa pengurus projek TNB dan pemilik syarikat wanita untuk dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


DUA individu termasuk seorang pengurus projek Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang ditahan reman sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan dakwaan rasuah tender pembekalan barangan pengubahsuaian pejabat TNB, dibebaskan, hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Nik Isfahanie membenarkan pengurus projek berusia 55 tahun dan suspek kedua yang juga wanita berusia 51 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Terdahulu kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi. Kedua-dua individu terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mei lalu di Lembah Klang.

Menurut sumber SPRM, pengurus terbabit didakwa menerima kereta BMW 5 Series daripada wanita terbabit selaku pemilik syarikat pengubahsuaian sebagai habuan atas pemberian tender berkenaan.

Tambah sumber, sepatutnya agihan tender itu perlu dilakukan terhadap syarikat panel di bawah TNB, sebaliknya pengurus terbabit meluluskan tender kepada kontraktor lain.

"Pembekalan barangan terbanit dipercayai berlaku pada 2014 bagi mengubah suai beberapa pejabat TNB di sekitar ibu negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 4:37 PM